Tengah cakap dalam telefon dengan mak tadi, tiba-tiba mak tersasul bahasakan aku dengan perkataan 'mak' masa explain sesuatu dekat aku tadi. Seolah mak tengah excited cerita dekat mak dia. Lepas tu kami berdua terkejut. Mesti mak rindu arwah nenek sangat-sangat. Lepas tu aku yg rasa sebak kejap. Dua-dua rindu arwah nenek. Suara ceria nenek dan gelak ketawa nenek masa cakap dalam telefon masih terngiang lagi dekat telinga ni.
Masa nenek masih hidup, mak telefon nenek hari-hari untuk ceritakan kisah harian dia. Kadang-kadang aku yang rajin tolong tekankan nombor nenek yang mak simpan dalam handphone dia. Semua benda mak akan ceritakan pada nenek. Nenek was her best friend. Her very trusted person in this world.
Lain betul rasa bila arwah nenek dah tak ada terutamanya bila balik Melaka. Nenek orangnya peramah, ceria dan suka bersembang dengan kami dekat dapur. Dulu lepas SPM, aku duduk 2 bulan dengan nenek. Hari-hari tidur dengan nenek. Nenek bawakan aku pergi buka akaun Maybank konon-konon nak guna sebagai akaun gaji nanti. Sampai sekarang aku guna akaun yang sama. Nenek juga pinjamkan baju kurung berwarna hijau masa aku nak pergi interview 7E. Siap tolong temankan pergi interview sekali. Tak dapat pun kerja tu tapi kenangan sangat.
Petang-petang kalau aku nak pergi stadium untuk joging, nenek minta pakcik tolong hantar dan ambil aku sebab aku tak ada lesen. Nenek suka belikan kangkung sebab dia tengok aku suka makan. Nenek suka belikan roti dan planta sebab aku suka makan. Nenek pastikan stok perencah nasi goreng resepi nenek yang juga kegemaran aku sentiasa ada stok sebab aku suka makan. Nenek sangat baik. Bila mak telefon nenek tanyakan khabar aku, nenek kata dia happy sebab dia rasa macam anak dia yang dah lama tak balik tiba-tiba dah ada dengan dia. Yang ni mak yang cakap lepas aku dah balik rumah sendiri. Mungkin sebab aku selalu ada dengan nenek masa tu.
Pagi-pagi jam 8 aku nampak nenek akan tunggu depan TV buka cerita pingu. Sekali aku pun terjebak. Tak ada bahasa tapi semua orang faham cerita pingu tu. Nenek terhibur. Haha! Nanti datang waktu malam, nenek akan tengok cerita favourite dia dengan maksu. Aku tengok kadang-kadang kalau rajin. Biasalah, masa tu aku sibuk bercinta jarak jauh. Lol
Lepas aku dah sambung belajar, balik Melaka cuma setahun sekali atau dua kali. Itu pun masa raya aidilfitri atau raya haji. Tapi masa belajar setahun dekat Shah Alam dulu rajin juga aku balik Melaka sebab tak jauh sangat. Setiap kali balik kampung mesti nenek akan bagi RM10 pada kami adik beradik. Bukan main seronok. Tapi aku tak pernah hulur duit dekat nenek sebab belum kerja masa tu. Sedih pula. Aku tahu nenek tak harap pun tapi aku teringin nak merasa bagi duit pada nenek juga. Maaf tau nenek. 😔
Bila dah kerja, nenek seronok sebab tiba-tiba aku dah nak kahwin. Masa tu baru lagi kerja. Setahun pun tak sampai lagi. Nenek suka betul dengan cincin tunang aku. Cantik design dan batunya nenek kata, maksu sampaikan pada aku. Sebelum tunang pun nenek dah jumpa bakal tunang aku, tapi aku tak pernah tanya apa-apa pula dekat nenek. Malu. Hehe. Lepas tu, asal jumpa aku saja, mesti nenek tanya persiapan kahwin aku. Hehe entah la nenek. Tahu-tahu je dah tak ada jodoh pula. Nenek kata tak apa, mungkin bukan jodoh. Nenek memang cool.
Aku paling menyesal tak belajar mengaji dengan nenek masa duduk dengan nenek dulu. Memang asasnya aku dah belajar dekat sekolah agama dulu tapi belum pernah belajar dengan nenek. Mak kata nenek suka pergi mengajar mengaji. Tapi dia tak akan ambil sebarang bayaran. Free of charge. Petang-petang dia naik basikal untuk pergi mengajar al-Quran. Satu hari kami dapat tahu nenek jatuh basikal. Aku masa tu rasa terkejut dan tergelak sebab rasa lawak. Sebab boleh pula jatuh basikal. Ni bila nenek dah tak ada baru aku terfikir kenapa lah aku gelak sedangkan jatuh basikal tu sakit. Ye lah kalau budak jatuh tu nampak lawak la tapi ni nenek kut.
Flashback lagi.
Aku teringat masa adik lelaki aku lahir. Nenek tolong mak masa mak berpantang dekat rumah nenek. Teliti nenek jagakan adik aku sekali. Tolong mandikan, tolong jagakan dua-dua sekali. Nenek memang cermat orangnya. Semua teratur dan sistematik. Masa sepupu-sepupu lahir pun nenek tolong jagakan maklang. Aku tak lupa dan masih nampak dalam fikiran. Eh tiba-tiba teringat pula aku dan adik aku suka bedal aiskrim arwah atok perisa oren dalam cawan dekat freezer. Atok tak pernah marah pun. Huuu. Dengan atok aku tak banyak sangat kenangan sebab atok meninggal lagi awal. Tapi aku ingat hari atok meninggal walaupun aku masih budak lagi. Aku ingat segalanya. Aku cium pipi atok sebelum atok kena kapan. Nenek pun sama. Tok pun sama. Tokwan pun sama. Semua keempat-empat aku sempat cium sebelum dikapan. Dan aku ingat segalanya dengan jelas sampai sekarang. 😔
Tapi dengan nenek lain sikit sebab nenek meninggal dunia depan mata aku sendiri. Malam tu nak balik rumah nenek dengan adik perempuan aku dari hospital sementara tunggu maksu habis solat dan sambung jaga nenek. Masa tu nenek tak sedarkan diri dah. Sebelum tu aku asyik mengelap mulut nenek sebab asyik ada buih dan air liur meleleh. Aku risau nenek tak selesa walaupun dia tak sedar. Aku tutup kepala nenek dengan serkup nenek. Jadi masa siap-siap nak panggil maksu, aku pun suruhlah adik aku ajarkan nenek mengucap. Dengan harapan nenek kuat semangat dan boleh sihat semula. Adik aku pun sebut kan "laila haillallah" dan nenek macam respon seolah mengikut. Adik aku sambung "muhammadun rasulullah" dan nenek macam ikut dalam hati. Tiba-tiba adik aku kata macam nenek lepaskan satu nafas dan macam dah tak bernafas lagi. Terus kelam kabut panggil doktor. Aku tengok semuanya macam sangat pantas. Aku jadi blur. Tak percaya apa yang aku nampak. What just happened?
Doktor dah sahkan kematian, aku call maksu. Aku call mak. Aku call pokde. Aku call semua orang tapi seorang pun tak angkat!! Akhirnya maksu call semula, aku cerita kan semuanya. Maksu terkejut sebab dia baru sangat pergi solat dekat surau hospital. Baru siap-siap nak pergi dekat nenek semula, tiba-tiba aku cakap nenek dah tak ada. Kemudian aku call mak untuk beritahu. Mak pun baru sehari pulang semula selepas beberapa hari temankan nenek. Jadi malam tu mak dan abah gerak balik Melaka.
Selesai bawa pulang nenek, kami semua duduk dekat nenek. Pokde pun nampak sangat sedih sebab nenek memang rapat dengan anak-anak dia. Akhirnya dalam jam 4 pagi, aku baring berdekatan nenek. Tiba-tiba lepas aku baring tu, semua orang baring juga. Maksu pun terus baring sambil peluk badan nenek. We knew that was the last time we could sleep with nenek. It was a quiet night as we mourned. Semua orang diam tapi semua orang macam sedang berdialog dengan diri sendiri termasuk aku. Kami tak tidur malam tu teman kan nenek. Esok paginya kami mandikan nenek ramai-ramai. Badan nenek lembut macam baru sangat meninggal. Ada makcik tu cakap sebab nenek selalu tak tinggalkan Quran. Subhanallah.. Aku pun teringin mati begitu..
Kemudian sebelum kebumikan nenek, ramai sedara dan jiran solatkan nenek dekat masjid Bukit Baru sebelah rumah lama nenek. Semua balik jenguk nenek sebab nenek sangat dihormati dan disayangi ramai. Masa kebumi, aku tengok adik lelaki dan sepupu aku tolong sama. Nenek masuk di liang lahad pun disambut muka-muka yang aku sangat kenal. Moga Allah permudahkan urusan kalian juga kelak. Kubur arwah nenek selang dua dari kubur arwah atok.
We miss you a lot nenek & atok. We really do. Datang lah melawat kami walaupun cuma dalam mimpi. Terubat juga rindu. 😔
Moga jasa kalian Allah balaskan dengan yang baik-baik sahaja. Moga Allah tempatkan kalian di syurga sana yang kekal abadi.
Waktu kita bila pula?