me. you. everybody.

.

Wednesday, August 28, 2019

Rasa Sayang

Sementara menanti di stesen bas, ada seorang lelaki cina mundar mandir sambil membawa beg kecil di tangan. Tiba-tiba, terdengar suara dia menyanyi lantang "rasa sayang hey rasa sayang sayang hey, hey lihat nona jauh rasa sayang sayang hey!" berulang-ulang ditambah dengan lirik lain yang aku sendiri tak pernah dengar atau tahu. Mungkin itu lirik yang dia sendiri tahu untuk versi dia sendiri. Sambil menyanyi, dia menari dan kelihatan seperti menghiburkan seseorang yang aku jangka hanya dia seorang yang nampak dalam bayangan. Tiba-tiba aku rasa sayu. Lama aku perhatikan dia sampai dia berlalu pergi. Aku rasa sedih sambil tersenyum. Dia nampak gembira memikirkan kenangan lalu tapi dalam masa yang sama dia nampak seperti orang yang sangat merindui seseorang atau sesuatu. Sesuatu yang sangat menggembirakan hati dia, yang sudah tidak dia miliki. Terdiam aku sambil berfikir. Aku akan jadi begitukah kelak? Aku harap tidak.

Kemudian aku kalih pandangan, aku nampak seekor kucing sedang makan. Perlahan lahan dia ke kotak karton air minuman sambil menjenguk jenguk kedalam. Dalam fikiran aku, mungkin ada anak dia didalam jadi aku terus ke kotak. Sambil aku berjalan, sambil dia datang lagi rapat ke aku dan bergesel-gesel dikaki. Mama kucing masuk kedalam kotak, terus memegang perut anak yang pertama dan memandang aku tanda memperkenalkan kedua ekor anak-anak kecil montel yang sedang tidur itu pada aku. Rasa terharu. Aku kira dia senang hati melihat aku lalu diperkenalkan pada aku kepada kehidupan baru. Sayu lagi. Lama aku belai dia dan terus rasa sayang. Sejenak aku teringat lagu rasa sayang yang lelaki cina tadi nyanyikan. Sebak.

Kadang-kadang aku rasa aku yang kurang bersyukur dengan apa yang aku ada. Aku ada keluarga, tempat tinggal, rezeki alhamdulillah dan kurniaan yang bermacam-macam tapi aku selalu pandang benda yang aku tidak atau belum miliki. Aku pandang kanan sekarang, mak ada disebelah. Aku terlupa, ada orang yang tiada mak dan sangat merindui mak mereka. Aku pejam mata dan tarik nafas sedalamnya. Terbau aroma bunga ros tawar didalam bas. Aku janji aku akan jaga apa yang aku miliki sekarang dengan baik. Aku tak mahu hanyut lagi didalam imaginasi sendiri.

Aku sayang semua yang aku miliki sekarang.