Quote of the Day:

"Allah always provide us with better things if we keep on trusting Him. Faith and hard work would help.."
-FzaIbrahim

TIME:



Tuesday, June 14, 2011

Bila Izrail datang memanggil.. ='(


Pagi yang indah. Sambil minum milo panas, fikiran melayang entah kemana. Aku sedar apa yang sedang berlaku di sekeliling tapi fokusnya lebih kepada apa yang dalam dalam minda. Aku terasa kehilangan yang amat besar. Kali ini lebih berbeza dari yang sebelumnya. Lebih buat aku berfikir secara mendalam. Lama aku mendiamkan diri sejak 7 hari lepas. Lebih banyak termenung dan kalau pun aku sedang lakukan sesuatu, otak ini tetap aktif berfikir.

7 Jun 2011, jam 4 petang.
Tarikh dan masa yang tak akan aku lupakan sampai aku mati selagi otak masih sihat dan berfungsi dengan baik. Tarikh berakhirnya hayat satu nyawa tapi pada sesetengahnya, bermulanya sudah hidup baru. Haihh.. Kalau sahaja aku tahu bagaimana mahu mulakan cerita yang aku alami. Baiklah. Mungkin dari tarikh 5 Jun 2011.

Tarikh itu adalah tarikh permulaan dimana aku belajar sesuatu yang baru lagi. Masa itu, aku dan mak sedang berada di pasar minggu dengan nenek dan maksu yang datang jauh dari Melaka untuk menghadiri majlis perkahwinan sepupu aku sebelah abah pada 4hb. Masih awal. Anak gadis mak yang lagi satu menelefon untuk memaklumkan bahawa tokwan tak sihat. Dipendekkan cerita, tokwan dimasukkan ke ward. Hari pertama, aku tiada dihospital menziarahi tokwan atas sebab-sebab tertentu. Esoknya, aku pergi melawat. Tokwan masuk CCU. Alhamdulillah keadaannya sedikit baik berbanding hari sebelumnya – itu pun menurut adik aku kerana beliau yang ada untuk menemani tokwan semalamnya. Aku masuk ke dalam ward agak lambat. Al maklumlah, aku harus member ruang untuk anaknya sendiri yang masuk dahulu. Aku yang terakhir masuk untuk melawat. Tokwan baring di katil. Tak seperti selalu dimana dia akan memandang aku dengan senyuman yang paling girang ketika dilawati aku. Memang selalunya sejak dulu, aku selalu teman tokwan di hospital bila orang lain sibuk berkerja. Itu pun kalau aku sudah habis masa sekolah atau tak punya kerja untuk dilakukan.  Aku tahu, dia mahukan teman kerana keadaan diwad sungguh membosankan. Itu pun aku tahu kerana aku pernah teman abah masa abah masuk wad dulu hingga pagi.

Berbalik kepada cerita asal. Aku memang tak nampak senyuman girang itu seperti selalu. Aku salam dan cium tangan tokwan dengan senyuman dengan harapan dia akan rasa lebih baik. Tokwan hanya baring. Aku usap kepala dan pegang tangan tokwan dengan doa supaya tokwan cepat sembuh. Lama juga aku disisi, dia pusing ke arah aku. Minta aku bawakan gigi palsu dan kasut beliau. Aku tersenyum. Rasa comel pula bila tokwan minta aku bawakan gigi palsunya sebab dia susah mahu mengunyah buah yang pak ngah belikan. Aku angguk dan beritahu pada pihak yang berkenaan untuk bawakan bila singgah ke rumah tokwan. Sebelum keluar, aku bilaskan kain yang diletak di kepala beliau dan lapkan sedikit badan dan tangannya dengan kain lembap. Kalaulah kau tahu betapa aku amat sayangkan tokwan. Aku keluar dari ward dengan perasaan sayu.

Esoknya. Tarikh 7 Jun 2011.
Ya, tarikh yang aku takkan lupa itulah. Jam 915 pagi mak telefon aku dekat rumah. Mak kata cepat siap, ikut pak ngah ke hospital pagi itu. Katanya tokwan tenat. Aku terus siap dan tunggu depan rumah lepas telefon mak ngah. Jam 10+ pagi, sampai didepan CCU. Aku biarkan yang lain masuk dulu seperti biasa kemudian baru aku yang masuk. Lama aku berdiri disisi tokwan. Abah juga ada. Aku perhatikan setiap gerak geri tokwan dan bantu apa yang termampu selagi boleh. Bukan aku nak kata aku sangat bagus disini, cuma kalau boleh aku mahu lakukan yang terbaik supaya tokwan rasa selesa dan senang hati bila ada yang ambil berat tentang dirinya. Aku pernah kehilangan beberapa kali dan aku tak mahu rasa lagi satu kehilangan dengan penyesalan.

Beberapa kali doktor panggil semua ahli keluarga untuk masuk ke dalam bilik CCU untuk berada disisi tokwan. Aku nampak tokwan nazak. Aku betulkan oksigen, pegang tangan tokwan supaya tangannya tak terluka dengan jarum besar ditangan. Tokwan dah tak kuat tapi dalam masa yang sama, aku Nampak beliau cuba untuk melawan kesakitan dan cuba untuk mendapatkan posisi badan yang paling selesa. Aku risau, gelisah, sayu, semuanya aku rasa. Airmata sudah mula ada dipipi masing-masing. Pertama kali aku lihat abah sedih dan menangis. Walaupun sedikit, tapi itu lah kali pertama selama aku hidup. Baiklah, aku sudah sebak sekarang. Baru aku sedar, kadangnya abah memerhatikan aku ketika dengan tokwan. Bila aku bantu dan jaga tokwan, abah lihat aku. Bila aku terpandang abah memerhatikan aku, aku jadi tambah sebak.Aku tahu, abah pasti memikirkan sesuatu saat itu. Aku tahu, abah tahu yang aku menangis untuknya ketika satu ketika dahulu beliau dimasukkan ke ward.  Ketahuilah abah, Fza sanggup lakukan apa sahaja untuk lihat orang yang Fza sayang rasa selesa dan gembira bila adanya kehadiran Fza disisi. Dan kerana itu jugalah aku sanggup melayan sahaja kerenah yang memenatkan dari orang-orang yang aku sayang kerana aku tak mahu ada penyesalan dipenghujung hari. Aku akan cuba yang terbaik selagi termampu. Mungkin itu aku belajar dari pengalaman yang lalu. =’(

Tengah hari itu aku tak pergi makan. Aku teman tokwan hingga petang sedikit. Mak sudah beberapa kali menelefon untuk suruh aku pergi makan. Aku ia kan tapi tetap tidak berganjak. Baiklah, bahagian ini lah bahagian penting yang pertama kalinya aku saksikan. Sakaratul maut. Aku memang dah ada pada tahap yang terlalu tabah untuk terima sahaja apa pun kemungkinan yang bakal berlaku. Nyawa dan badan pernah bersatu dan bilamana ia cuba dipisahkan, aku berfikir panjang. Ya, ini kali pertama aku saksikan sendiri. Waktu itu, aku tahu aku akan kehilangan lagi. Tapi hati kena kuat, harus tabah. Aku beritahu pada diri sendiri berkali-kali untuk kuat dan jangan menitiskan airmata. Betul, aku berjaya lakukannya sebab aku tak mahu tokwan nampak aku dalam keadaan yang tidak menggembirakan hatinya. Aku tahu aku harus bantu dia dengan hati yang kuat. Lama kelamaan, nurse beri tokwan ubat sedatif. Tokwan lemah selepas beberapa minit menggeletar dan bergerak dengan keadaan yang tak seperti selalu. Aku tahu dia letih. Dalam 15 minit, tokwan sedar semula. Airmata berkali-kali keluar tapi ditahan supaya tidak melampau kelihatannya. Aku ajarkan tokwan mengucap. Alhamdulillah tokwan ikutkan. Rasa lega kerana beliau masih mampu melafazkannya. Dalam jam 345 petang, aku keluar dari ward apabila tokwan sedikit okay. Aku jumpa mak dan selesaikan sedikit urusan kemudian pergi kedai makan. Baru 2-3 suap, mak telefon. Suaranya tenang bertanya aku dimana. Soalan dijawab dan bila aku bertanya tujuan asal dia menelefon, hanya satu perkataan yang keluar.

“Tokwan baru saja meninggal..”
Aku terus ke kaunter dan bayar lalu makanan diminta untuk dibungkuskan. Kaki terus melangkah ke CCU. Aku tak nampak airmata yang melampau pada mata mereka. Aku tahu mereka sudah redhakan pemergian tokwan. Lagipun, masing-masing sudah pun menunaikan kewajipan sebagai seorang anak dan menantu serta cucu kepada  tokwan semasa hayatnya masih ada. Alhamdulillah, tokwan punya anak-anak yang tulus dan menghargai beliau. Aku tak sempat melihat tokwan diwad setelah beliau melepaskan nafas terakhirnya. Tapi satu peluang sudah datang pada aku. Mak sedara aku ajak aku bawa tokwan pulang ke kampung. Betapa besarnya hati aku bila diberi peluang sedemikian. Aku ikut mereka ke rumah mayat yang kali pertamanya aku jejak. Ketika jasad tokwan diletakkan di satu sudut untuk menanti kereta jenazah, aku temankan tokwan. Duduk disisinya supaya dia tak keseorangan sementara menanti yang lain menguruskan hal lain diwad dan kaunter sebelum tokwan dibawa pulang. Baru aku tahu bahawa aku mampu atasi fobia aku pada jasad yang tidak bernyawa bila itu berlaku. Kali pertama aku menemani jasad seseorang yang tidak bernyawa seorang diri. Walaupun sekejap, tapi ini kali pertama. Aku pegang dan usap jasad itu. Masih lembut walaupun sudah mula sejuk. Aku percaya rohnya sedang duduk disebelah aku. Mungkin juga berdiri memandang jasadnya sendiri yang terkujur di atas stretcher. Bila yang lain sudah datang, mak dan abah ajak aku pulang dengan mereka. Bila aku katakan aku akan menemani tokwan, mereka angguk. Sesungguhnya aku teramat mahu temankan tokwan hingga ke rumahnya. Dalam van jenazah, aku pilih untuk bersendirian dengan tokwan dibelakang walaupun mak sedara aku memberi aku pilihan untuk duduk didepan untuk menunjukan arah pada pemandu. Aku lebih mahu duduk dengan tokwan. Dalam van, aku sebak.

“Tokwan, kita dah nak pulang ni..”

Beberapa kali aku katakan begitu pada tokwan yang ada disisi. Aku tahu dia ada bersama. Aku tahu rohnya masih disisi aku. Aku tahu dia memerhatikan aku, mungkin juga cuba memberi tindakbalas. Tapi aku tak minta lebih, dapat temankan tokwan pun dah kira dapat menggembirakan diri sendiri sedikit sebanyak. Sepanjang perjalanan, aku diamkan diri. Airmata mengalir. Bukan kerana menyesal, tapi kerana pemergian tokwan begitu dirasai. Baru lagi semalam aku bercakap dengan tokwan, cuba memenuhi setiap permintaannya yang mampu aku tunaikan ketika itu. Baru lagi sebentar tadi aku lihat beliau yang masih bernyawa. Baru lagi mengikut aku untuk mengucap. Sekelip mata semuanya berubah.

Sampai dirumah tokwan, mereka bukakan kapan sementara tokwan untuk dipulangkan pada pihak berkenaan. Van jenazah pulang dan aku pergi pada tokwan. Terdiam. Mereka pakaikan baju dan kain pelikat tokwan yang aku serahkan diwad semalamnya kerana nurse minta. Rupanya untuk ini. Sebak lagi. Selalunya tokwan pandang aku dengan senyuman bila aku datang ke katil itu tapi kali ini tidak lagi. Ya, aku tahu apa sebabnya. Selesai mandikan jasad tokwan pada esoknya, aku taburkan juga kapur barus semasa tokwan dikafankan. Aku cium pipi dan dahi tokwan sambil katakan aku sayang pada tokwan dalam hati. Airmata keluar lagi. Tak apalah, ada rezeki nanti kami jumpa lagi.. ='(

Tapi walaupun tokwan dah pergi kepada-Nya, banyak pekara sudah aku pelajari. Banyak pengalaman baru sudah aku timba. Banyak juga yang buat aku tersedar. Nantilah. Entry selepas ini aku cerita lagi.

Tokwan, saya rindu awak. Alhamdulillah, saya gembira dapat jaga awak sepanjang hayat awak.
Petang karang saya pergi lawat awak yaa.
Al-fatihah.

Ini gambar tokwan yang terakhir yang aku sempat tangkap pada hari sepupu aku akad nikah.
1 Jun 2011.
Moga roh tokwan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman hendaknya.